Dimulakan dengan Bismillah

Dimulakan dengan Bismillah

Sunday, April 11, 2010

Earth Hour and Islam :)

ARKIB : 07/04/2010

Kempen Earth Hour di USMKK


Sebahagian daripada pelajar mengaminkan doa selepas solat hajat sempena Kempen Earth Hour di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu baru-baru ini.


KOTA BHARU 6 April - Para pelajar di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USMKK) Kubang Kerian dekat sini turut serta dalam kempen Earth Hour dengan memadam lampu di kampus berkenaan disusuli dengan solat hajat dalam program menghayati saat untuk 'bumi' itu.

Dalam program yang dinamakanUSMKK Without Lights itu, para pelajar bersama-sama menunaikan solat isyak dan hajat berjemaah di atas padang kawad setelah seluruh kawasan desasiswa digelapkan secara berpusat selama sejam baru-baru ini.

Lebih 300 pelajar yang turut serta pada malam 27 Mac lalu kemudiannya beramai-ramai duduk bersila di atas tempat sama menonton dua tayangan video yang telah disediakan.

Pengarah program yang juga Exco Majlis Perwakilan Pelajar, Nur Shafawati Abd. Rahni gembira kerana program itu mendapat sokongan penuh pelajar bukan Melayu yang telah berada di padang sejak dari awal bagi menyaksikan rakan yang beragama Islam menunaikan solat.

"Sebenarnya separuh daripada ahli jawatan kuasa saya untuk program ini adalah rakan-rakan bukan Islam.

"Namun bila diajukan pengisian solat hajat, mereka tidak ada masalah menerimanya dan telah sama-sama membantu membuat promosi aktiviti kami ini sejak awal lagi.

"Malah tidak ada yang berganjak sehingga akhir program walaupun sebahagian besar warga desasiswa sudah ramai yang pulang bercuti," katanya.

Hadir sama pada program malam itu adalah Timbalan Dekan Akademik Pusat Pengajian Sains Perubatan, Dr. Shaiful Bahari Ismail; Penolong Penggawa Desasiswa Murni, Dr. Nureen Noorfarahain dan Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan Dr. Wan Nudri Wan Daud.

Menurut Nur Shafawati, program sempena 'Earth Hour' yang dirai di seluruh dunia tersebut telah dianjurkan di kampus mereka sejak 2008 lagi.

Namun katanya, hanya pada tahun ini semua pelajar dapat dikumpulkan di satu tempat dan bukan 'bertapa' di bilik masing-masing menghabiskan masa sejam tersebut.

"Jika dahulu lampu-lampu ditutup atas inisiatif masing-masing tetapi kali ini kami mendapat kerjasama daripada Jabatan Pembangunan USM untuk menutupnya secara berpusat.

"Sebenarnya ada juga pelajar tahun akhir yang akan menduduki peperiksaan pada bulan April telah membantah tetapi bilangan mereka boleh dibilang dengan jari dan ia dapat diselesaikan secara baik," katanya.

Nur Shafawati berkata, pelajar pada malam itu turut mendengar perutusan mengenai perubahan cuaca dunia daripada Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abd. Razak melalui tayangan video yang disediakan selain berpeluang menonton video khas yang disunting jawatankuasa program sendiri.

Harapannya agar rakan-rakan sekampus dapat mengambil iktibar daripada program yang dianjurkan dan mengerti betapa pentingnya 'bumi' ini diselamatkan daripada sifat ketamakan dan pembaziran manusia - UTUSAN MALAYSIA







No comments: